Home Business Enhancement & Opportunities Pemasaran Digital: Mencipta Peluang Baharu Bagi Perniagaan Automotif
Pemasaran Digital: Mencipta Peluang Baharu Bagi Perniagaan Automotif

Pemasaran Digital: Mencipta Peluang Baharu Bagi Perniagaan Automotif

0
0

Gelombang digital telah memberikan pengguna akses yang lebih luas kepada maklumat, disebarkan melalui platform digital dalam sekelip mata. Kini, peniaga juga diberi pilihan yang lebih efektif untuk menyebarkan maklumat tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, berbanding kaedah-kaedah tradisional seperti iklan di media massa atau cetak.

Perniagaan kini sudah mula menggunakan media sosial sebagai medium utama untuk melaksanakan promosi mereka terutamanya, industri kecil dan sederhana. Walau bagaimanapun, kaedah pemasaran juga perlu diubahsuai untuk memastikan strategi pemasaran digital dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Sebagai contoh, salah satu strategi pemasaran digital kini berlandaskan kepada “inbound marketing”. Prinsip ini berlandaskan suatu konsep dimana daya tarikan pelanggan diperoleh melalui penghasilan kandungan berkualiti selaras dengan minat pelanggan, melalui saluran-saluran seperti blog mahupun platform-platform media sosial yang sedia ada. Tarikan pelanggan kepada penghasilan inilah yang membuatkan pelanggan mencari peniaga ini apabila tiba keperluan untuk membeli.

Tambahan pula, dengan adanya ciri-ciri untuk menganalisis data dan mengukur prestasi setiap kandungan yang disalurkan melalui media sosial, peniaga dapat memperbaiki strategi pemasaran bagi meningkatkan lagi keberkesanan jualan.

Pemilik Beruang Garage, Muhammad Nurzaim bin Zainal berkata, “Pemasaran yang boleh dilakukan melalui platform digital sangat meluas. Ini kerana dalam dunia digital, tidak wujudnya jarak di antara kita dengan pengguna. Kelebihanya adalah, dari segi perniagaan, kita dapat membina sebuah “fanbase” yang global”.

Beruang Garage adalah sebuah perniagaan bengkel sukan motor (motorsports), yang juga menyediakan perkhidmatan servis kereta serta penggantian alat-alat kenderaan.

Pada tahap permulaan perniagaannya, Nurzaim hanya mendapat sambutan pelanggan daripada kawasan yang berdekatan dengan bengkelnya. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyangka dapat meluaskan perniagaanya hingga ke tahap antarabangsa, selepas meneroka kaedah pemasaran digital. Kini, pelanggan Beruang Garage datang dari Sri Lanka dan Brunei untuk membuat pengubahsuaian kenderaan dan membeli alat-alat ganti di kedainya.

“Saya masih ingat zaman dulu-dulu, di mana kita akan menyebarkan semua promosi melalui risalah ataupun “flyers”. Namun, semua ini telah berubah dan sebenarnya, menjadi lebih senang kerana satu poster boleh disampaikan kepada pelanggan yang berada di sempadan yang berlainan dengan hanya satu klik butang”, kata pemilik bengkel yang berusia 28 tahun itu.

Tambah Nurzaim pula, pemasaran digital merupakan platform yang agak murah. Ini kerana tiada lagi keperluan mencetak risalah-risalah untuk tujuan promosi dengan adanya platform digital seperti media sosial.

Selain itu, pergerakan kepada pemasaran digital merupakan salah satu punca perubahan dalam suasana pasaran pada hari ini, kata Omar bin Mohd Azmi, pemilik bengkel Omar Motor Solutions yang terletak di kawasan Shah Alam.

Tambah Omar, kini, pelanggan ingin berinteraksi dengan penjual untuk mendapatkan maklumat tentang produk, servis, ataupun penjelasan kepada keraguan yang dihadapi. Semua ini dapat dilaksanakan melalui fungsi-fungsi yang tersedia di media sosial seperti, ruang komen, mesej serta “sharing”.

“Berbanding dengan pemasaran tradisional, pemasaran digital membolehkan kita menjawab banyak soalan yang ditanya oleh pelanggan. Kita dapat berinteraksi dengan sepuluh pelanggan secara langsung berbanding era pemasaran tradisional, di mana kita hanya boleh berinteraksi dengan satu orang pada satu masa. Itupun, kalau pelanggan tersebut mengambil inisiatif untuk bertemu dengan kita secara fizikal”, kata Omar.

Tambah beliau lagi, komunikasi merupakan satu kelebihan platform media sosial yang boleh menyebarkan suatu mesej secara serentak kepada semua pelangganya. Lebih-lebih lagi, semua fungsi yang terdapat dalam media sosial dapat membantu mereka bersaing dengan syarikat-syarikat automotif bertahap global.

“Dengan adanya pemasaran digital, industri kecil dan sederhana mampu menyebarkan perkhidmatan mereka dengan kos yang murah tetapi berefektif. Ini merupakan satu faktor yang amat penting dalam sesebuah perniagaan,” kata Nurzaim.

Faktor-faktor di atas menjelaskan betapa efektifnya pasaran digital kepada semua pemain industri kecil dan sederhana mahupun perniagaan yang berpotensi untuk meningkatkan kadar jualan. Pemasaran digital bukan hanya dapat meningkatkan daya tarikan pelanggan tetapi juga mampu menjadikan bidang automotif di negara Malaysia sebuah industri yang berdaya saing.

Kepada mereka yang berminat untuk megetahui lebih tentang pemasaran digital ataupun “digital marketing”, Malaysia Automotive Institute (MAI) akan mengadakan sebuah program yang dikenali sebagai “Digital Marketing Training Workshop”. Butiran program ini boleh didapati di pautan ini.

tags:

LEAVE YOUR COMMENT

Close