Home Events MAI Auto Festival 2018 – Dibawa khas kepada rakyat Perak
MAI Auto Festival 2018 – Dibawa khas kepada rakyat Perak

MAI Auto Festival 2018 – Dibawa khas kepada rakyat Perak

0
0

Industri Automotif Malaysia (MAI) telah menganjurkan MAI Auto Festival 2018 yang telah berlangsung dari 30 Mac hingga 1 April 2018, bertempat di SMK Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak. Acara tersebut telah menarik perhatian lebih daripada 50,000 penduduk berdekatan. MAI Auto Festival 2018 telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada 31 Mac 2018, Sabtu.

MAI Auto Festival 2018 dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dan pendedahan kepada orang ramai mengenai peluang pekerjaan dan perniagaan di dalam industri automotif. Tambahan pula, MAI Auto Festival menandakan kali pertamanya program industri automotif dibawa kepada rakyat negeri Perak.

“MAI meneruskan lagi usaha-usaha dalam meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakyat Malaysia dalam penggunaan dan pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga, atau EEV (Energy Efficient Vehicles). Justeru itu, program ini adalah salah satu simbol komitmen kerajaan dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing industri automotif negara, dan membawa Malaysia ke arah persaingan tinggi di peringkat global”, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Kerajaan, melalui MAI, telah mewujudkan pelbagai program bagi membantu usahawan memperkasakan kemahiran dan kebolehan berniaga secara spesifik di dalam bidang automotif. Asalkan ada kemahuan, kami sedia membantu sesiapa sahaja yang berminat”, tambah beliau.

YAB. Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, “Program-program pemerkasaan modal insan yang diwujudkan kerajaan melalui MAI, seperti program IPC, AICE, PPT dan SLDN dapat menjamin pekerjaan bagi rakyat Malaysia di seluruh peringkat kelayakan – iaitu lepasan sekolah hinggalah mereka yang sudah mempunyai pengalaman bekerja”.

“Sektor automotif memerlukan sokongan dari semua pihak, terutamanya dari segi keperluan modal insan. Pihak kerajaan, melalui MAI, sedang giat menjalankan program seperti MAI Auto Festival ini bagi membawa peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang berada di kawasan bandar,” kata Ketua Eksekutif MAI, Dato’ Madani Sahari.

12 pengeluar kenderaan seperti Proton, Perodua, Kawasaki, Land Rover, Honda, Peugeot, Kia, Mazda, Haval, Toyota, Demak dan Tan Chong Group mempamerkan model terkini untuk penduduk kawasan sekitar Bagan, Datuk, Perak.

“Pameran ini merupakan pengalaman yang unik untuk saya kerana ia merupakan pameran berkaitan automotif yang pertama di negeri ini”, kata Durai dari Bagan Datuk yang telah mendapat tahu tentang program ini melalui media sosial.

Di samping pameran kenderaan, MAI juga telah menganjurkan pemeriksaan kenderaan secara percuma melalui program “Car Care Week” bagi kenderaan berjenama Proton dan Perodua. “Car Care Week” diadakan unuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan kenderaan secara berkala. Perkhidmatan ini telah mendapat sambutan daripada 120 orang di mana mereka juga telah mendapat peluang untuk memiliki sebotol minyak enjin secara percuma.

“Perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma ini telah meningkatkan kesedaran saya tentang kepentingan penjagaan kereta dari segi yang lebih mendalam. Walaupun hanya percuma, banyak komponen kereta diperiksa dan ini merupakan sesuatu yang memanfaatkan pengguna kereta di kawasan ini”, kata Ubaidillah bin Sahroni dari Bagan Datuk.

“Pengguna di Malaysia jarang mementingkan pemeriksaan kereta secara berkala tetapi dengan adanya Car Care Week, saya telah mendapat pengetahuan betapa pentingnya pemeriksaan kenderaan. Pemeriksaan di sini dilakukan secara terperinci dan ini membolehkan saya mendapat tahu isu yang boleh merosotkan kualiti kereta saya,” kata Mohd Hamzaid bin Mokhtar dari Simpang Empat, Hutan Melintang.

Lebih lagi, MAI Auto Festival 2018 menyajikan pelbagai aktiviti-aktiviti lain bagi para pengunjung, seperti pandu uji pelbagai jenama kenderaan, 4×4 Off Road Challenge, Konsert Rock oleh artis ternama; XPDC, Nik Putra, Yabang Khalifah, Laika (Akademi Fantasia) dan Eka (Akademi Fantasia), perkhidmatan pusat transformasi komuniti bergerak, food truck, pameran & jualan hasil industri tempatan, larian automotif dan lain-lain lagi. Di samping itu, seorang pengunjung bertuah telah memenangi sebuah kereta Perodua Axia melalui cabutan bertuah yang ditaja oleh MAI.

MAI Auto Festival 2018 merupakan satu siri jelajah promosi kepada penganjuran Malaysia Autoshow 2018 yang bakal diadakan pada 26-29 April 2018 di MAEPS, Serdang, Selangor.

tags:

LEAVE YOUR COMMENT

Close