Sunday, 22 October 2017
A+ R A-
Thursday, 10 August 2017 08:35

Geely mahu jadikan Proton berdaya saing

Written by
Rate this item
(0 votes)

Hu Zhengnan (kiri) dan Dr. Li Li semasa sesi taklimat kepada media

HANGZHOU, China 7 Ogos - Rakan strategik baharu Proton, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) berhasrat untuk membina jenama Proton menjadi jenama paling kompetitif di Malaysia dan jenama utama di Asia Tenggara.

Ketua Jurutera Kanan, Geely Automobile Research Inst. (Ningbo) Co. Ltd., Dr. Li Li selaku ketua jawatankuasa perundingan perkongsian strategik dengan Proton berkata, pihaknya mempunyai wawasan yang jelas mengenai penyertaannya di dalam Proton.

“Kita mahu situasi menang-menang antara Geely dan Proton, dan matlamat memulihkan jenama Proton memang dipegang oleh kami.

“Pada masa yang sama, Geely juga menyasarkan untuk mencapai potensi sepenuhnya Lotus Cars dan membawanya ke fasa baharu pembangunan dengan meluaskan serta mempercepatkan pengenalan produk dan teknologi baharu kereta Lotus,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia yang mengunjungi Pusat Penyelidikan (GRI) di Teluk Hangzhou di sini. Yang turut hadir ialah Presiden GRI, Hu Zhengnan.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam Luaran Geely, Ash Sutcliffe berkata, Geely kini memiliki lebih 800 Pusat 4S dan hampir 1,000 pusat servis di seluruh China dan kira-kira 350 pusat jualan di luar negara.

Tahun lalu ujar beliau, Geely Holding telah menjual seba­nyak 1.3 juta kenderaan, dengan pencapaian rekod jualan kereta tertinggi sebanyak 534,332 buah dalam sejarah Volvo yang secara langsung meningkatkan penjualan Geely Auto Group melebihi 50 peratus untuk mencapai jumlah keseluruh­an 765,851 buah, mele­bihi sasaran Syarikat.

Pada separuh pertama 2017, Geely Auto Group menjual 530,627 buah kenderaan, peningkatan 89 peratus dalam tempoh yang sama pada 2016 dan memenuhi 53 peratus sasaran jualan 2017 iaitu 1 juta buah.

“Kejayaan ini telah mendorong pengurusan kanan untuk mengkaji semula sasaran tahunan kepada 1.1 juta buah. Kini Volvo telah mencapai rekod jualan 277,641 buah dalam tempoh enam bulan pertama 2017 iaitu peningkatan seba­nyak 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,’’ ujarnya.

Kedua-dua Geely dan Volvo Cars menjangka pertumbuhan jualan yang baik dengan jenama Geely bakal mencecah dua juta buah manakala Volvo sebanyak 800,000 buah menjelang tahun 2020.

“Geely menyasar untuk menjadi syarikat automotif global dalam senarai 10 Terbaik di dunia dan jenama automotif China pa­ling berdaya saing dan dihormati menjelang 2020,’’ kata beliau.

Satu daripada langkah kon­krit yang dilaksanakan bagi mencapai matlamat itu ialah kelahiran jenama baharu kereta Lynk & Co, hasil kerjasama Geely dengan Volvo yang dirasmikan Jumaat lalu.

Syarikat usaha sama Lynk & Co itu dimiliki secara bersama oleh Geely Auto, Geely Holding dan Volvo Cars di bawah struktur saham 50-20-30 peratus.

Secara ringkasnya, Kumpulan Zhejiang Geely Holding adalah sebuah kumpulan automotif global yang memiliki beberapa jenama automotif antarabangsa yang ter­ke­­nal, dengan operasi merangkumi rantaian nilai automotif, daripada penyelidikan, pembangunan dan reka bentuk kepada pengeluaran, penjualan dan servis.

Ditubuhkan pada tahun 1986 oleh Li Shufu (kini pengerusi syarikat), di bandar Taizhou di wilayah Zhejiang China, Geely Holding melancarkan perniagaan automotif pada 1997 dan beribu pejabat di Hangzhou, China.

Syarikat ini terdiri daripada tiga perniagaan: Geely Automobile Group, Volvo Car Group dan Geely Commercial Vehicles Company. Jenamanya termasuk Geely Auto, LYNK & CO, Volvo Car, Polestar, London Taxi Company dan Yuan Cheng Auto.

ZGH mempunyai lebih daripada 60,000 pekerja di seluruh dunia, dan telah disenaraikan dalam Fortune 500 selama lima tahun berturut-turut. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/geely-mahu-jadikan-proton-berdaya-saing-1.512228

Read 128 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.