Monday, 25 September 2017
A+ R A-
Thursday, 13 July 2017 09:45

Perolehan sektor automotif diunjur catat lantunan

Written by
Rate this item
(0 votes)

KUALA LUMPUR: Perolehan sektor automotif tempatan diunjurkan mencatat lantunan bermula suku ketiga tahun ini selepas merekodkan pemulihan kukuh jualan pada separuh pertama tahun ini.

Unjuran itu dipacu beberapa faktor termasuk pengukuhan ringgit, jangkaan makro yang memberi manfaat kepada perbelanjaan pengguna, pelancaran model baharu serta kadar kelulusan pinjaman yang lebih stabil.

Bersandarkan perkembangan positif itu, MIDF Research menyemak naik unjuran jumlah jualan industri (TIV) kenderaan tempatan bagi 2017 kepada 595,928 unit daripada unjuran sebelumnya sebanyak 589,000 unit.

Firma penyelidikan menyatakan, pemulihan pendapatan dalam sektor automotif didorong oleh tukaran asing lebih baik yang akan mengurangkan kos import.

Katanya, ringgit semakin mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu daripada RM4.50 bagi setiap AS$1 kepada paras terkini RM4.30 berbanding AS$1.

"Malah, penganalisis ekonomi kami telah menaikkan jangkaan ringgit kepada RM4.20 berbanding AS$1," kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya semalam.

Pada masa sama, ringgit juga menunjukkan pengukuhan berbanding yen Jepun dengan berada pada paras RM3.80 bagi 100 yen berbanding RM4.20 pada suku pertama tahun ini.

Tambah firma penyelidikan itu lagi, pemulihan pendapatan sektor automotif juga disumbangkan oleh jangkaan makro ekonomi yang lebih baik.

"Baru-baru ini kami telah menyemak semula jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 4.9 peratus kepada 5.1 peratus. Ia adalah penambahbaikan kedua dalam tempoh enam bulan.

"Ia didorong oleh jangkaan dagangan yang lebih kukuh. Seperti yang dilihat dalam tempoh lima bulan lalu, pasaran eksport berkembang pada kadar dua angka yang kukuh.

"Tambahan pula, suku kedua tahun ini mencatatkan keyakinan perniagaan yang tertinggi iaitu pada 4.5 peratus berbanding -6.9 peratus pada suku sebelumnya.

"Penambahbaikan dalam jangkaan makro akan memberi manfaat kepada perbelanjaan pengguna, terutama dalam segmen perbelanjaan bukan berhemah yang kurang aktif sepanjang tahun," katanya.

MIDF Research turut menyentuh mengenai kadar kelulusan pinjaman yang turut membantu pemulihan sektor berkenaan.

Katanya, kadar kelulusan telah berada pada tahap stabil iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus jika dilihat kepada aliran yang berlaku dalam tempoh 1 bulan lalu.

Selain itu, syarikat automotif juga kini semakin kreatif dengan menyediakan pelbagai pakej penyelesaian kewangan seperti skim kewangan dua peringkat atau rebat bayaran pinjaman bulanan.

Faktor utama lain yang turut mempengaruhi pemulihan pendapatan adalah peningkatan pelancaran produk baharu pada separuh kedua tahun ini.

Antara model utama yang dilancarkan termasuk Honda Jazz (Jun), Mazda CX5 dan CX9 (Oktober dan Julai), empat model baharu Toyota serta Myvi baharu daripada Perodua.

Menurut MIDF Research, PROTON yang menjalin kerjasama dengan Geeky juga dijangka mengeluarkan model pertama kenderaan utiliti sukan hasil usaha sama berkenaan.

"Ia akan berasaskan model Geely Boyue. Buat masa ini tiada sebarang petunjuk bila ia akan dilancarkan tetapi berdasarkan analisis kami, ia dijangka dilancarkan seawal hujung tahun ini," katanya.

INFO:

* TIV yang baru diumumkan pada Mei lalu menunjukkan peningkatan bulan kelima berturut-turut, dengan pertumbuhan 13 peratus tahun ke tahun kepada 50,600 unit kenderaan.

Read 99 times

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.