Home Business Enhancement & Opportunities “Fleet Service” – Model Perniagaan Bengkel Semakin Relevan
“Fleet Service” – Model Perniagaan Bengkel Semakin Relevan

“Fleet Service” – Model Perniagaan Bengkel Semakin Relevan

0
0

Dengan kewujudan perniagaan e-dagang, semakin banyak barangan dihantar terus kepada pembeli. Kerap kali penghantaran dibuat menggunakan motosikal, kerana lebih cekap kos.

Syarikat-syarikat yang mana perkhidmatan penghantaran menjadi teras operasi, contohnya Pizza Hut, KFC dan sebagainya, mempunyai bilangan motosikal yang banyak untuk memenuhi keperluan operasi harian. Syarikat-syarikat seperti ini memerlukan perkhidmatan yang mampu menampung kapasiti tinggi bagi menyelenggara motosikal-motosikal yang digunakan dalam “fleet” secara efisien mengikut piawaian yang ditetapkan.

Pemilik Omar Motor Solutions Sdn. Bhd., Omar bin Mohd Azmi berkata, beliau mula menceburi penyelenggaraan motosikal “fleet” kerana dapat melihat peluang yang sangat besar dalam cabang industri automotif ini, terutama kepada pelanggannya yang menyediakan perkhidmatan penghantaran.

“Saya sudah berpengalaman dalam industri automotif hampir empat belas tahun dan selama itu, saya menyelenggara motosikal milikan persendirian. Ada suatu ketika bisnes saya mendapat sambutan, tetapi ada juga masa yang bisnes saya tidak mendapat sambutan. Ini menjadikan pendapatan saya kurang stabil. Oleh itu saya mengambil inisiatif dengan memikirkan satu strategi yang mampu menstabilkan perniagaan saya”, kata pemilik bengkel tersebut.

Omar turut berkata, “Saya pun terfikir, daripada saya menjaga satu pelanggan yang mempunyai satu motor, ia adalah lebih baik jika saya menjaga satu pelanggan yang mempunyai ribuan motor. Model perniagaan adalah berbeza tetapi ianya lebih berbaloi”.

Beliau berkata, salah satu faktor yang menyebabkan beliau menceburi perkhidmatan ini adalah kerana situasi perbelanjaan masyarakat kian berubah kepada pembelian secara atas talian dimana banyak syarikat yang bergantung kepada perkhidmatan bergerak berkembang pesat.

“Sebagai seorang usahawan, saya lihat perkara ini sebagai sebuah peluang untuk memperkembangkan perniagaan saya dan amatlah rugi jika tidak mengambil peluang tersebut”, kata Omar, yang juga merupakan seorang peserta program Workshop Transformation Program (WTP) yang dianjurkan oleh Malaysia Automotive Institute (MAI).

Beliau mula melaksanakan penyelenggaraan motosikal “fleet” pada tahun 2014 secara kecil-kecilan, sekadar menggunakan modal dan alatan sedia ada. Kini, klien-klien Omar Motor Solutions terdiri daripada KFC, Pizza Hut, FahsionValet, Prolintas (unit peronda) dan banyak lagi. Beliau mempunyai sekitar 15 orang pekerja yang mengendalikan perkhidmatan yang disediakan oleh Omar Motor Solutions.

Kata Omar, “Selepas membuat sedikit kajian tentang perkhidmatan penghantaran bergerak, kami memulakan langkah pertama dengan mengadakan sesi pertemuan dengan syarikat-syarikat gergasi yang mengutamakan perkhidmatan penghantaran di Malaysia seperti Pos Malaysia, DHL, NationWide, Yamato Transport dan banyak lagi dengan tujuan mendapat maklumat lanjut berkaitan kadar penggunaan motosikal untuk perkhidmatan penghantaran mereka”.

Selain itu, beliau berkata, mereka dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi melalui perundingan yang sihat. Paling penting adalah tidak berputus asa, walaupun kadang kala rundingan dengan sesebuah syarikat itu tidak mendapat keputusan yang positif.

“Salah satu contoh bagaimana kami dapat menjalin hubungan kerjasama adalah dengan menghadiri majlis melibatkan “networking” yang dianjurkan oleh MAI. Ini adalah penting untuk mengenali dan mengetahui peluang terbuka lain yang belum pernah kita ketahui”, kata beliau.

Tambahnya lagi , “Kita boleh mencetuskan kerjasama dengan syarikat besar pada skala kecil dahulu, kemudian kita boleh memperkembangkannya secara berperingkat mengikut tahap kemampuan syarikat kita. Apa yang lebih penting ialah, kita perlu mengetahui selok-belok cara syarikat besar itu beroperasi dan mengenali mereka yang bertanggungjawab atas operasi syarikat tersebut”.

Salah satu kelebihan Omar Motor Solutions ialah “mobile service”. Omar berkata, ini merupakan satu perkhidmatan penyelenggaraan motosikal secara bergerak dimana ia memudahkan pengurusan syarikat yang menggunakan motosikal sebagai platform penghantaran untuk memantau dan memastikan jadual penyelenggaran motosikal mereka ditetapi.

“Penyelenggaraan tersebut dilakukan di tempat klien tanpa perlu menghantar kepada mana-mana bengkel diluar bagi mengelakkan kes ditipu dari segi harga dan kualiti barang. Ini kerana, setiap kali penyelenggaraan dilakukan, wakil dari klien akan memastikan kami melakukan servis dengan betul untuk setiap motosikal”, kata Omar.

“Penyelenggaraan secara bergerak ini penting kerana dapat mengurangkan kadar kerosakan berat sekaligus mengurangkan kos perbelanjaan kerana pemantauan berjadual dilakukan di kedua-dua belah pihak,” tambah Omar.

Selain itu, servis ini tidak akan mengganggu jadual perjalanan motosikal yang telah dirancang oleh klien mereka kerana mereka menyediakan perkhidmatan yang fleksibel.

“Perkhidmatan ini mempunyai masa depan yang cerah kerana kebanyakan pengguna sudah kurang ke pusat beli-belah untuk membeli belah. Dengan hanya satu klik sahaja, barang yang dikehendaki akan sampai di pintu rumah. Oleh itu, perniagaan penghantaran memberikan lebih banyak peluang kepada semua usahawan bengkel motosikal yang ingin memperkembangkan perniagaan mereka”, ujar Omar.

Omar juga berkata, kerajaan sudah menyediakan banyak platform serta peluang kepada usahawan bagi memperkasakan perniagaan mereka. Dia mengesyorkan lebih ramai usahawan mencari peluang tersebut bagi manfaat bersama.

tags:

LEAVE YOUR COMMENT

Close